Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Skip Navigation LinksSinopsis Pameran Majlis Ilmu 2025

​​

SINOPSIS PAMERAN MAJLIS ILMU 2025




TAJUK: NEGARA DITANAI DENGAN SEDEKAH

Pameran ini mengajak pengunjung menelusuri dan memahami tentang pengertian sedekah dan kelebihannya sebagai asas ketahanan, kesejahteraan dan kedaulatan Negara Brunei Darussalam yang berlandaskan kepada nilai ikhlas, murah hati dan budaya memberi yang subur dalam kehidupan bernegara sejak dahulu hingga kini. 

Pameran ini memaparkan dalil Al-Quran dan hadis Rasulullah sallallahu alaihi wasallam mengenai keutamaan dan kelebihan sedekah yang diperkukuh lagi dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menekankan bahawa sedekah sebagai penolak bala dan penawar penyakit. 

Pameran ini juga memaparkan peranan Sektor Kerajaan, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah,  Sektor Swasta dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) untuk sama-sama menghidupkan amalan bersedekah dan menjadikannya bukan sekadar amalan individu bahkan sebagai usaha kolektif yang menjadi teras kepada pembangunan dan kesejahteraan negara.


ZON SATU: ILMU SEDEKAH DAN AMAL RAJA BERJIWA RAKYAT

Pameran dalam Zon Satu akan memperkenalkan mengenai ilmu dan kefahaman berkaitan sedekah, bermula dengan pengertian, tuntutan, kepentingan, penghayatan dan kelebihannya yang ditekankan melalui dalil Al-Quran dan hadis Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Dalam konteks Negara Brunei Darussalam, kefahaman ini disertai dengan titah-titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam khususnya penekanan Baginda terhadap sedekah sebagai wadah kebajikan, penolak bala dan penawar penyakit. Baginda juga menzahirkan ingatan kepada rakyat agar memperbanyakkan sedekah khususnya dalam membantu golongan yang memerlukan.

Zon ini turut memaparkan sifat dermawan, pemedulian dan kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Al-Marhum Paduka Ayahanda Baginda Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien melalui pemberian kurnia dan bantuan kebajikan yang disalurkan kepada rakyat dan penduduk di negara ini menerusi peranan dan tanggungjawab pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia.  


PAVILION YAYASAN SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH

Pavilion ini mempamerkan pelbagai program strategik yang dibentuk secara terancang dan berkesan oleh Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat dan penduduk di negara ini seperti program dukungan sosial dan insentif untuk golongan memerlukan. Pavilion ini secara tidak langsung menampilkan kewibawaan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah sebagai wadah kasih raja kepada rakyat dan lambang institusi kebajikan negara.

Di samping mempamerkan pelbagai projek kebajikan, komuniti dan pendidikan yang diungkayahkan oleh Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, pavilion ini juga memaparkan kejayaan projek pembangunan masyarakat yang selesai atau masih dilaksanakan.


ZON DUA: PERANAN KERAJAAN, INSTITUSI AGAMA DAN SEKTOR SWASTA

Zon Dua menyoroti usaha Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat dalam memperluas dan memperkukuh konsep bersedekah yang menyumbang kepada pembangunan, kemakmuran dan kesejahteraan negara dengan menyalurkan bantuan kebajikan kepada rakyat dan penduduk yang memerlukan. 

Turut diketengahkan dalam zon ini ialah peranan dan tanggungjawab serta projek yang dikendalikan oleh Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) dan Jabatan Urusan Zakat, Wakaf dan Baitulmal (JUZWAB) dalam menguruskan kutipan zakat dan wakaf secara teratur kepada golongan asnaf di negara ini. Diikuti dengan usaha-usaha yang dilaksanakan oleh Jabatan Hal Ehwal Masjid berhubung kait dengan penubuhan tabung dana bagi pembinaan masjid diseluruh negara. Di samping memperlihatkan peranan dan penglibatan Institusi Pengajian Tinggi dalam menanai tanggungjawab sosial masyarakat. 


Zon ini juga memaparkan peranan serta inisiatif Sektor Swasta dan Korporat seperti Sektor Perbankan, Sektor Telekomunikasi serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dalam melaksanakan pelbagai khidmat bantuan secara berterusan sama ada dari segi kewangan, sosial, tenaga dan khidmat masyarakat dengan tujuan untuk meringankan beban golongan yang kurang bernasib baik. 


KESIMPULAN
Pameran Majlis Ilmu 2025 bertemakan “Negara Ditanai dengan Sedekah” bukan sahaja menyingkap keutamaan dan fadilat sedekah, tetapi juga mempamerkan sejauh mana nilai murni ini disalurkan dalam dasar Kerajaan, institusi agama, Sektor Swasta, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Institusi Pengajian Tinggi dan peranan masyarakat sehingga menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ yang membawa maksud “Negeri yang baik dan Tuhan Yang Maha Pengampun” yang menjadikannya sebagai sebuah negara yang aman, makmur dan sentiasa dalam lindungan serta keampunan Allah subhanahu waTaala, serta dikenali sebagai Negara Zikir.